Menu

Wahyu 15

KSZ

1 Aku melihat pula di langit suatu alamat lagi, yang besar dan ajaib, iaitu tujuh malaikat membawa tujuh wabak terakhir, maka dengannya selesailah kemurkaan Allah. 2 Kulihat seakan-akan laut kaca bercampur api. Mereka yang menang menghadapi dugaan binatang itu, patungnya, tandanya dan angka namanya, berdiri di atas laut kaca itu memegang kecapi Allah. 3 Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba: ‘Agung dan ajaib pekerjaan-Mu, Allah Tuhan Maha Kuasa! Benar dan adil setiap jalan-Mu, Ya Raja segala bangsa! 4 Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, Ya Tuhan, dan memuliakan nama-Mu? Kerana hanya Engkaulah Yang Maha Suci. Semua bangsa akan datang dan sujud menyembah-Mu, kerana penghakiman-Mu telah ternyata.’ 5 Setelah itu aku melihat pula dan ternampak tempat suci dalam khemah kesaksian di syurga terbuka. 6 Dari tempat suci itu keluarlah tujuh malaikat yang membawa tujuh wabak itu, berpakaian suci murni berseri-seri, dada mereka dililiti pending emas. 7 Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh mangkuk emas dipenuhi kemurkaan Allah yang hidup selama-lamanya. 8 Rumah ibadat Allah dipenuhi asap daripada kemuliaan dan kuasa-Nya dan tiada siapa dapat memasukinya hingga tujuh wabak yang dibawa oleh tujuh malaikat itu selesai.

Everything we make is available for free because of a generous community of supporters.

Donate